Dashboard Belia merupakan gerbang maklumat berkaitan program dan aktiviti pembangunan belia merentas pelaksana pembangunan belia di Malaysia.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) telah mengambil inisiatif membangunkan Sistem eMYInd bermula pada tahun 2018 yang merupakan sistem bersepadu Malaysian Youth Index bagi merekodkan maklumat program pembangunan belia merentas kementerian, jabatan, agensi dan pelaksana pembangunan belia di Malaysia.
Inisiatif ini selaras dengan pendekatan di bawah Dasar Belia Malaysia (DBM) yang menekankan konsep "merentas pelaksana" dalam memastikan pembangunan belia di negara ini dilaksanakan secara bersama berdasarkan fungsi dan keupayaan setiap pelaksana.
Inisiatif ini membolehkan sumber dan maklumat dikongsi ke arah penyerlahan potensi belia negara ke tahap yang optimum, serta membantu kementerian dan agensi menyelaras, memantau dan memastikan perancangan yang efektif.
KBS juga perlu menjadi peneraju data berkaitan belia. Data yang strategik dapat memberikan kelebihan kepada kementerian dalam membantu membuat keputusan yang lebih tepat sekaligus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
Melalui data, KBS dapat menganalisis, merangka dan melaksanakan setiap polisi dan program yang lebih berkesan serta berimpak tinggi. Sistem penyampaian KBS juga dapat kekal relevan, telus dan berakauntabiliti melalui pengurusan data yang berkesan.
Selaras dengan penaiktarafan sistem, Sistem eMYInd telah dinamakan semula sebagai Dashboard Belia dan telah dilancarkan serta dirasmikan pada 25 Mei 2024 oleh YAB Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, bersempena Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat Kebangsaan.
Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bilangan 1 Tahun 2023 pada 20 Mac 2023 yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri telah memutuskan supaya semua kementerian membentangkan inisiatif pembangunan belia di kementerian masing-masing bagi memperkemas pelaksanaan pembangunan belia dan mengelakkan pertindihan program.